Hong Kong merupakan bandar yang dipenuhi dengan kepelbagaian budaya dan makanan, menjadikannya destinasi idaman bagi para pencinta makanan, termasuk pelancong Muslim. Semakin banyak restoran di bandar ini yang menawarkan hidangan yang mematuhi piawaian halal, sekali gus memastikan pelancong Muslim dapat menikmati pelbagai sajian yang lazat dan memikat.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bandar yang dinamik ini menyaksikan pertambahan restoran baharu yang diperakui halal, di mana setiap satunya menampilkan sentuhan tersendiri terhadap masakan Cina tradisional. Sama ada anda penduduk tempatan atau pelancong, restoran-restoran ini menjanjikan pengalaman menjamu selera yang menyeronokkan dan memperkenalkan rasa yang terbaik dalam hidangan halal. Daripada dim sum yang menyelerakan sehinggalah hidangan vegetarian yang kreatif, setiap restoran menampilkan keistimewaan tersendiri dalam seni kulinari Cina. Berikut ialah empat restoran Cina baharu yang diperakui halal dan wajib anda kunjungi dalam pengembaraan kulinari di Hong Kong.
Terletak di Tsim Sha Tsui dan bertentangan dengan Masjid Kowloon, Cuisine Cuisine at The Mira menyajikan gabungan menarik antara rasa tradisional dengan moden dalam masakan Cina. Restoran ini terkenal dengan ketelitian dalam penyediaan hidangan serta penggunaan bahan-bahan berkualiti tinggi, selain menawarkan pelbagai pilihan hidangan yang diperakui halal yang benar-benar menonjolkan keaslian masakan Cina. Pengunjung boleh menikmati dim sum klasik dengan pilihan halal serta menu istimewa bermusim, semuanya menampilkan seni masakan Kantonis di samping mengekalkan rasa asli setiap ramuan.
Tempahan awal sekurang-kurangnya satu hari perlu dibuat untuk menikmati Menu Halal.
Sebagai restoran mewah Cina pertama yang mesra Muslim di Hong Kong, Chinesology merupakan destinasi santapan moden yang mengangkat masakan tradisional Cina ke tahap yang lebih eksklusif. Menunya menampilkan 20 hidangan Cina yang disahkan halal, membolehkan pengunjung Muslim menikmati keaslian rasa masakan Cina yang menghormati tradisi kulinari, namun diberikan sentuhan moden dan kreatif. Dengan menekankan persembahan dalam hidangan serta penggunaan bahan bermusim, Chinesology menyajikan pengalaman menjamu selera yang memikat semua deria.
Tempahan awal sekurang-kurangnya satu hari perlu dibuat untuk menikmati Menu Halal.
Terletak di kawasan Centra, Yuan merupakan restoran makanan vegetarian mewah berkonsepkan Cina moden yang pertama di Hong Kong. Di Yuan, para pengunjung Muslim berpeluang menikmati keistimewaan sajian vegetarian Cina moden yang mengekalkan integriti Halal, menerusi menu berasaskan tumbuhan sepenuhnya dan bebas alkohol, selaras dengan prinsip mesra alam yang diketengahkan restoran ini. Anda pasti akan dibawa menyusuri pengalaman kulinari yang mempesonakan melalui gabungan rasa dan tekstur yang harmoni, serta hidangan inovatif yang meraikan kekayaan alam semula jadi—semuanya diperakui halal.
Di Lady 13 Kitchen, anda dapat menikmati sentuhan moden dalam sajian masakan Cina yangdisajikan dalam suasana yang mesra dengan hiasan kayu dan seni ringkas berunsurkan budaya Cina. Antara hidangan yang menjadi pilihan ialah pelbagai jenis mi yang boleh dipilih sendiri, dihidangkan bersama ayam panggang kicap dan ramuan segar, menghasilkan keunikan gabungan rasa masakan Cina dan antarabangsa. Tambahan pula, menu berasaskan telur ketam menjadi kegemaran ramai pelanggan Muslim, lebih-lebih lagi kerana ia disahkan halal.
Alamat: Shop A, G/F, Valiant Commercial Building, 22-24 Prat Avenue, Tsim Sha Tsui
Terokailah restoran-restoran bersijil halal yang hebat ini dan nikmati pengembaraan kulinari yang menggabungkan tradisi dengan inovasi di pusat bandar Hong Kong!