Beli-belah

Perhiasan rumah dan Perabot

Home Decorations and Furniture

Apabila anda menyaksikan pilihan perabot dan aksesori rumah di Hong Kong, anda mungkin akan menjadikan lawatan ini suatu alasan untuk menghias semula rumah. Jika keberkesanan ruang adalah penting, anda telah datang ke tempat yang betul. Melihat kepada harga hartanah yang tinggi di sana sudah cukup untuk membuat anda faham mengapa pemilik rumah di Hong Kong mahukan perabot dengan rekaan kreatif yang muat untuk ruang-ruang sempit. Namun, anda masih boleh mendapatkan barangan-barangan besar juga kerana kebanyakan perkakasan rumah dan perabot dunia, akan melalui bandaraya ini.Kedudukan Hong Kong sebagai pintu masuk kebanyakan pusat pembuatan dunia juga memberikan nilai pada harga.

Karpet, permaidani dan kelengkapan rumah
Hiaslah rumah anda dengan karpet Cina, India atau Parsi yang berkualiti tinggi; ataupun dhurries Turki atau Afghanistan, kelims dan tikar sembahyang. Bagi jenis tebal dan mewah, Hong Kong juga menempatkan karpet Tai Ping yang terkenal, yang membolehkan anda mereka sendiri coraknya. Harganya bergantung kepada jenis benang, tahap kerja tangan, kesukaran rekabentuk corak, keharmonian warna dan kehalusan tenunan. Pastikan anda bersedia untuk sesi tawar-menawar!

Adanya sutera Thai yang ceria warnanya, kain kapas India yang dibuat dengan tangan dan sutera mentah Cina, menjadikan Hong Kong tempat paling ideal untuk menempah cadar, sarung kusyen dan langsir. Jangan lupa bawa ukuran dan contoh fabrik sebelum datang, dan pastikan penjual dan anda benar-benar bersetuju dengan saiz tempahan dan spesifikasinya sebelum anda meninggalkan kedai.

Perabot
Meja makan kayu jati ukiran Cina tradisional, sofa kulit yang menarik, perabot rotan, futon Jepun, set meja ukiran dari Indonesia, peti dari Korea - banyak cara anda boleh menghias semula rumah anda, sambil anda menikmati dim sum. Jika anda seorang yang kreatif, beberapa tempat menawarkan perkhidmatan tempahan khas. Kunjungi gudang-gudang perabot di Hollywood Road, Queen's Road Central, Aberdeen dan Ap Lei Chau untuk kegunaan harian ataupun hiasan mewah.

Kelengkapan pencahayaan
Cahaya neon Hong Kong dan mungkin beberapa jalan di bandaraya ini boleh dilihat dari ruang angkasa. Apa tidaknya, minat mendalam bandar ini kepada cahaya terang menjadikan ia tempat yang hebat untuk membeli lampu dan kelengkapan cahaya lain, daripada chandelier kristal hinggalah ke tanglung kertas Cina. Jika anda risau penutup lampu kaca anda pecah ketika penghantaran, Hong Kong boleh menawarkan penutup lampu daripada sutera Cina yang lebih tahan.